SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) perlu mempergiat usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi bagi menjana pendapatan dan memberi ekonomi kepada universiti dan Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UTS Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penyelidikan universiti tidak seharusnya terhenti pada penerbitan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada produk, teknologi dan peluang perniagaan yang mempunyai nilai komersial.
Beliau berkata, universiti bukan sahaja berperanan melahirkan graduan, malah perlu memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara praktikal menerusi pembangunan teknologi dan penubuhan syarikat pemula niaga.
“Penyelidikan yang baik tidak seharusnya berakhir di atas kertas, sebaliknya perlu menghasilkan produk, syarikat, sumber pendapatan dan pulangan yang membolehkan universiti melabur semula untuk pembangunan institusi serta rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di sini hari ini.
Tun Wan Junaidi turut menggalakkan penyelidik UTS memperluas penerbitan hasil kajian melalui artikel ilmiah, jurnal dan buku, selain mendokumentasikan pengetahuan tradisional serta warisan ilmu masyarakat peribumi Sarawak.
Katanya, UTS juga perlu memperkukuh penyelidikan dalam bidang teknologi hijau, kelestarian dan pengurusan karbon sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, pengkhususan bidang berkenaan berpotensi menarik penyelidik dan saintis berkaliber ke Sarawak serta meningkatkan daya saing universiti di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap UTS dapat menyokong aspirasi Sarawak menubuhkan agensi angkasa sendiri dan melancarkan nanosatelit pertama negeri ke orbit, sekali gus membuka peluang penyelidikan baharu kepada saintis dan jurutera muda.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi menyambut baik usaha UTS memperluas penawaran akademik merangkumi bidang seni, kemanusiaan dan perancangan memperkenalkan program perubatan.
Beliau turut menyokong aspirasi UTS mendapatkan pengiktirafan menerusi QS World University Rankings bagi memastikan kualiti pendidikan dan penyelidikannya memenuhi piawaian antarabangsa.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi Lembaga Gabenor UTS, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Hakim Juri dan Naib Canselor UTS, Profesor Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman.
