KUCHING: Ekonomi sosial berpotensi menjadi antara pendekatan penting dalam membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar, khususnya melalui perusahaan sosial, koperasi dan organisasi berasaskan komuniti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu mewujudkan sumber pendapatan, malah berperanan menangani keperluan sosial dan menggerakkan sumber tempatan.
“Ekonomi sosial menyediakan ruang kepada masyarakat yang mungkin berdepan halangan untuk menyertai aktiviti ekonomi supaya mereka turut berpeluang menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan.
“Pertumbuhan ekonomi sosial memerlukan ekosistem sokongan yang menyediakan akses kepada pembiayaan, pasaran, kepakaran teknikal serta sokongan institusi,” katanya ketika berucap pada Majlis RISE 2026: Rising Impact Through Sustainable Empowerment dan Pelancaran Buku Empowering Communities, Buliding Sustainable Futures di Voco Hotel di sini, hari ini.
Fadillah turut berkata, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil juga penting bagi memastikan organisasi komuniti mempunyai peluang untuk berkembang serta meningkatkan keupayaan operasi masing-masing.
Jelasnya, perusahaan komuniti perlu mempunyai akses kepada latihan perniagaan dan pembiayaan, manakala koperasi pula perlu diberikan peluang memperkukuh operasi serta menembusi pasaran baharu.
“Usahawan luar bandar juga perlu diberi peluang untuk mengubah sumber tempatan kepada pendapatan yang mampan melalui sokongan dan kemudahan yang bersesuaian.
“Dasar pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada peluang praktikal di peringkat akar umbi supaya manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat yang menjadi kumpulan sasaran,” ujarnya lagi.
Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi memastikan kemajuan ekonomi negara bersifat inklusif dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk turut serta.
Beliau mengingatkan bahawa visi pembangunan luar bandar yang pernah diperjuangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kekal relevan kerana kemajuan negara tidak seharusnya tertumpu di bandar, sebaliknya perlu sampai ke kampung dan pedalaman.
