SEZ Sibu pemangkin pembangunan, pelaburan bandar

SIBU: Cadangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu perlu dijadikan asas kepada pelan induk pembangunan bandar ini.

Ia bagi menarik pelaburan serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab pertumbuhan ekonomi di tengah Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu perlu menyelaras pembangunan pusat bandar dengan kawasan pertumbuhan baharu di pinggir Sibu.

Menurutnya, pemberian insentif cukai serta penggunaan teknologi mampu meningkatkan daya tarikan zon berkenaan kepada pelabur.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah badan khas bagi menyelaras pembangunan SEZ Sibu, dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijadikan rujukan.

“Saya mencadangkan penubuhan sebuah badan khas untuk menyelaras pembangunan SEZ Sibu, dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Ulang Tahun Ke-20 Pusat Agape Sibu di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, cadangan penubuhan SEZ Sibu dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan turut disentuh Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan.

Beliau berharap Sibu turut menikmati insentif pelaburan seperti yang ditawarkan menerusi zon ekonomi khas lain bagi merangsang kemasukan pelaburan ke bandar itu.

Mengulas hala tuju pembangunan Sibu, beliau berkata Amsterdam menjadi antara inspirasi dalam merancang masa depan bandar berkenaan, khususnya melalui penyelarasan pembangunan pusat bandar dengan kawasan baharu di pinggirnya.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Agape atas tindakan menamakan sebuah bangunan baharu sempena nama Allahyarham isterinya.

Beliau turut mengenang penglibatan Allahyarham isterinya dalam menyokong kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk usaha penubuhan sebuah pusat autisme di Kuching.

Sepanjang dua dekad lalu, Pusat Agape memainkan peranan menghimpunkan pelbagai pertubuhan yang menyediakan perkhidmatan di bawah satu bumbung, sekali gus membantu masyarakat, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga mereka.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Pengasas Pusat AGAPE Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh,

Pengerusi merangkap Ahli Pengasas Pusat Agape Sibu, Datuk Tiong Thai King, Naib Pengerusi Pusat Agape Sibu, merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agape Centre & Upacara Penamaan Bangunan Baharu Persatuan Autisme Sibu, Dato’ Thomas Tieng Mee Tung dan Bendahari merangkap Ahli Pengasas Pusat Agape Sibu, Datuk Jason Tai Hee.