Kerjasama kaum kekuatan pembangunan Sarawak

LAWAS: Pembangunan dan kemajuan Sarawak merupakan hasil kerjasama erat semua kaum tanpa mengira latar belakang, sekali gus menjadi kekuatan negeri ini untuk berkembang sebagai wilayah berdaya saing.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tiada satu kaum pun mampu membangunkan dan mentadbir Sarawak secara bersendirian tanpa kerjasama serta sokongan kaum lain.

“Pendekatan politik berasaskan kaum dan agama semata-mata boleh menimbulkan kecurigaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, kekuatan kewangan negeri membolehkan kerajaan meluluskan Belanjawan Sarawak 2027 berjumlah RM14.8 bilion, dengan lebih 60 peratus diperuntukkan untuk pembangunan.

Beliau berkata, semangat kerjasama dan keharmonian dalam kalangan kepimpinan pelbagai kaum menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memudahkan usaha bersama untuk memacu pembangunan negeri.

Katanya, pendekatan itu juga membolehkan Sarawak berkembang daripada sebuah wilayah yang pernah terpinggir kepada negeri yang berdaya saing serta berupaya menjana ekonomi demi kemakmuran rakyat.