Logo bersama GPS lambang kerjasama, perpaduan parti komponen

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan hanya menggunakan satu logo bersama iaitu Burung Kenyalang bagi semua calonnya yang bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.

Ketua Pergerakan Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penggunaan logo bersama bagi empat komponen parti GPS itu telah dipersetujui oleh semua pucuk kepimpinan GPS.

“Penggunaan logo bersama itu menunjukkan ikatan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pergerakan Wanita GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar melancarkan jentera berkenaan yang turut dihadiri oleh semua ahli Pergerakan Wanita GPS Negeri.

Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB berkata, kesemua 82 cawangannya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya itu demi memastikan kesemua 82 calon GPS yang bertanding menang dengan bergaya.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) adalah empat parti komponen GPS.

Sementara itu, Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, Barisan Nasional (BN) membuat keputusan bijak apabila menyatakan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRU DUN Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai tarikh hari penamaan calon dan 12 Disember 2026 hari mengundi.