KUCHING: Seramai 157 individu menerima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Besar Astana Sarawak, di sini, hari ini.
Tun Dr Wan Junaidi diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada istiadat berkenaan.
Mendahului senarai penerima ialah Datuk Syed Hamzah Syed Paie yang dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K).
Ia kemudian diteruskan dengan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) kepada Allahyarham Dato Abang Bohari Abang Mohd Zain yang diwakili oleh Abang Jeffery Abang Bohari.
Turut dikurniakan ialah Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi.
Sementara itu, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) dikurniakan kepada 15 penerima, manakala Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 21 penerima.
Selain itu, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) menyaksikan seramai 14 penerima dan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) pula menyaksikan seramai 20 penerima pengiktirafan.
Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) pula dikurniakan kepada 41 penerima manakala Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) dikurniakan kepada 43 penerima.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
