BETONG: Seramai 177 orang menerima Bantuan Input Nelayan melalui Tabung Pemudahcara Pertanian (AFF) anjuran Jabatan Pertanian Sarawak, Bahagian Betong, di sini, semalam.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM355,000 atau bersamaan anggaran RM2,000 bagi setiap penerima.
“Setiap penerima turut menerima 17 utas pukat hanyut bagi membantu kegiatan perikanan mereka,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan itu.
Shafizan berharap bantuan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan dalam membantu meningkatkan produktiviti, memperkukuh sumber pendapatan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan sektor perikanan.
Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Sarawak, Bahagian Betong, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Layar Rimbas atas kerjasama menjayakan program ini.
