Piagam Madinah inspirasi keharmonian masyarakat Sarawak

SAMARAHAN: Mengangkat kembali roh dan falsafah Piagam Madinah sebagai sebuah kerangka kehidupan bermasyarakat adalah antara matlamat Program Jelajah HIKMAH Piagam Madinah di sini, baru-baru ini.

Program sehari itu menghimpunkan 135 peserta daripada gabungan kawasan Samarahan dan Serian serta membawa misi yang lebih besar daripada sekadar menyampaikan pengetahuan sejarah Islam.

Diadakan di Dewan Kristal, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, program berkenaan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap prinsip dan nilai yang terkandung dalam Piagam Madinah, khususnya dalam mendepani realiti kehidupan masyarakat majmuk di Sarawak.

Selain itu, ia berhasrat mengangkat kembali roh dan falsafah Piagam Madinah sebagai sebuah kerangka kehidupan bermasyarakat yang berteraskan keadilan, saling menghormati, tanggungjawab bersama serta pengiktirafan terhadap kepelbagaian agama dan latar belakang masyarakat.

Prinsip-prinsip tersebut amat signifikan untuk dihayati dalam konteks Sarawak yang sekian lama dikenali sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan kepercayaan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Naib Yang Dipertua HIKMAH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Wanita HIKMAH, Toh Puan Hayati Ahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan merangkap Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH, Prof. Dr. Kamaruddin Kana, Pengerusi HIKMAH Ranting Sebuyau merangkap Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH, Tuanku Hadwad Tuanku Sekran, Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH, Alwi Morshidi, Pegawai Tadbir Komunikasi Pejabat Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Dakwah HIKMAH, Ustaz Zamri Mohamad, dan Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH, Ustaz Wan Lukmanhakin Wan Sajali,

Dalam landskap masyarakat yang semakin kompleks, Piagam Madinah wajar dilihat bukan sekadar dokumen sejarah yang diwariskan sejak zaman Rasulullah SAW, tetapi sebagai sumber inspirasi dalam membina sebuah masyarakat yang mampu hidup bersama secara harmoni tanpa mengorbankan identiti dan pegangan masing-masing.

Hakikatnya, perpaduan tidak terbina hanya melalui slogan, sebaliknya memerlukan kefahaman, kesediaan untuk menerima perbezaan dan komitmen kolektif dalam memelihara keharmonian.

Melalui penganjuran ini, HIKMAH berharap nilai-nilai kesejahteraan, keadilan, toleransi dan tanggungjawab bersama dapat terus disemai dalam masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembinaan Sarawak yang lebih bersatu, harmoni dan makmur.