KUCHING: Sarawak berhasrat menjadi hab serantau bagi penilaian kesan sosial (SIA), kajian gunaan dan pembangunan profesional untuk Malaysia, ASEAN dan negara membangun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengalaman Sarawak dalam membangunkan semula bandar, infrastruktur, tanah, mentransformasi luar bandar dan tenaga, menyediakan ruang terbaik untuk dijadikan pembelajaran.
Institusi seperti Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak bersama dengan universiti, MSIA dan rakan industri boleh menyumbang kepada inisiatif berkenaan, katanya ketika melancarkan Persidangan dan Pameran Penilaian Kesan Sosial dalam Kemunculan Ekonomi (SIAC) 2026 di sini, hari ini.
Persidangan dan pameran dua hari itu dianjurkan Sempena Ulang Tahun ke-45 Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak (LCDA) dengan kerjasama Persatuan Penilian Kesan Sosial Malaysia dan PLANMalaysia.
Sarawak yang mengalami transfromasi dalam pembangunan infrastruktur, pembangunan semula bandar, tenaga dibaharui, pembangunan perindustrian dan menjana poertumbuhan ekonomi, hendaklah disertai dengan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.
Pembangunan di Sarawak perlu disesuaikan dengan keadaan setempat disebabkan Sarawak begitu luas dengan penduduknya tinggal di bandar, kawasan pesisir, luar bandar dan pedalaman yang memerlukan pelbagai keperluan, corak dan sosioekonomi, katanya.
Tanah turut membawa perkembangan ekonomi, sosial dan budaya, katanya dan menambah, projek pembangunan hendaklah dipertimbangkan mengikut kepentingan adat resam, akses masyarakat, corak hidup tradisional dan kebajikan penduduk yang terjejas.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-13, beliau berkata, Sarawak menyokong aspirasi itu dengan meluluskan peruntukan RM52.5 bilion untuk melaksanakan 1,203 projek dan inisiatif meliputi infrastruktur, pembangunan ekonomi, khidmat awam, teknologi dan modal insan.
Proses pembangunan yang semakin kompleks, katanya, memerlukan keupayaan institusi yang lebih kuat dan amalan SIA yang kompeten secara profasional.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak bersedia berusaha menubuhkan pusat latihan dan ilmu pengetahuan SIA dengan menyediakan program meliputi libat urus bersama pemegang taruh, penempatan, menjaga corak hidup, rancangan pengurusan kesan sosial, pemantauan sosial dan kesepaduan kelestarian pembangunan alam sekitar.
Rancangan itu memerlukan latihan yang berwibawa, pengamal berpengalaman, koordinasi institusi dan rakan kongsi antarabangsa, tegas beliau.
Melalui pertukaran ilmu pengetahuan yang mampan dan penyelidkan secara praktikal, katanya, Sarawak boleh mengukuhkan kepakaran tempatan sambil menyumbang pengalaman berharga kepada masyarakat SIA serantau yang lebih luas.
