Razaili tidak pertahan kerusi DUN Beting Maro

BELADIN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Keputusan mengejutkan itu sekali gus membuka ruang kepada kemunculan kepimpinan baharu untuk meneruskan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta agenda pembangunan di kawasan Beting Maro.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Razaili berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, khususnya keperluan memberi peluang kepada generasi pemimpin muda dalam parti.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus diperkukuh, selain membuka ruang kepada barisan kepimpinan masa hadapan untuk memikul tanggungjawab membangunkan Sarawak.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan, khususnya bagi memberi ruang dan peluang kepada generasi pemimpin muda dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti dan agenda pembangunan Beting Maro,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh barisan kepimpinan parti atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Razaili juga tidak melupakan jasa dan sokongan masyarakat Beting Maro yang sentiasa memberikan kepercayaan serta kerjasama kepadanya sepanjang menggalas amanah sebagai wakil rakyat.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada seluruh masyarakat Beting Maro atas segala kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menggalas amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan bermakna penglibatannya dalam perjuangan masyarakat dan parti akan berakhir.

Sebaliknya, Razaili memberi jaminan komitmen serta semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan menyokong perjuangan PBB akan sentiasa kekal meskipun tidak lagi berada dalam gelanggang pilihan raya.

Pengumuman itu sekali gus menjadikan persoalan siapakah bakal calon yang akan diberi kepercayaan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di DUN Beting Maro antara perkara yang bakal mendapat perhatian.