KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang tanpa bertanding di Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni akan meneruskan agenda pembangunan di kawasan Demak Laut untuk tempoh lima tahun lagi.
Dr Hazland diumumkan sebagai menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 apabila tiada calon lain tampil mengemukakan kertas percalonan kepada pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan calon di Dewan SMK Tun Abang Haji Openg hari ini.
Dr Hazland yang diiringi pencadangnya Hassan Eli dan Masalia Suhai selaku penyokong menyerahkan borang pencalonannya kepada pegawai pengurus pilihan raya pada jam 9.02 pagi.
Beliau turut diiringi oleh kira-kira 400 penyokongnya yang sedia menunggu di luar kawasan sekolah itu sejak seawal jm 7 pagi.
Bercakap kepada media selepas pengumuman itu, Dr Hazland menzahirkan terima kasih kepada penduduk di kawasan Demak Laut.
“Kejayaan ini adalah kemenangan semua penduduk di N.5 Demak Laut yang mahu agenda pembangunan diteruskan di kawasan ini,” katanya.
Ini adalah penggal keempat Dr Hazland menduduki kerusi DUN N.5 Demak Laut setelah kali pertama menang dalam pilihan raya negeri pada tahun 2011.
