SIBU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka yang dijangka menang tanpa bertanding sebelum ini, menyaksikan tiga calon bebas bertanding menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Dr Annuar Rapaee.
Tiga calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 terdiri daripada Simon Tiong Ing Lung, 58, Kho Mung Ming, 48, dan Tieh Sing Ming, 52.
Terdahulu, Dr Annuar yang juga penyandang kerusi DUN Nangka, tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu jam 8.30 pagi dengan diiringi kira-kira 1,400penyokongnya.
Beliau kemudian mengemukakan borang penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi dengan diiringi oleh Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad selaku pencadang dan Ibrahim Laili selaku penyokong.
Ini diikuti oleh Simon Tiong yang mengemukakan borang pencalonan kira-kira jam 9.24 pagi dengan dua beradik iaitu Law Jing Sun dan Law Jing Yang selaku pencadang dan penyokong.
Kho bersama pencadangnya, Bong Le Ching dan penyokong, Tie Sing Fu menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.45 pagi, diikuti Tieh kira-kira jam 9.54 pagi bersama pencadang, Tu Sui Eng dan penyokong, Tiong Sii Chiong.
Pada PRN Sarawak Ke-12, Dr Annuar menang dengan majoriti 10.804 undi setelah memperolehi 12,059 undi menewaskan pencabar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Intanurazean Wan Sapuan Daud yang hanya memperolehi 1,255 undi sementara calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Olivia Lim Wen Sia dengan 1,027 undi.
DUN N.55 Nangka mempunyai seramai 36,312 pemilih berdaftar.
