SUKMA 2024: Sarawak tidak tanggung kos negeri lain

BETONG: Sarawak tidak menanggung mana-mana kos yang ditanggung negeri-negeri lain yang menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dijadual berlangsug dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Ia ditegaskan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu sambil berkata, negeri-negeri yang terlibat harus bertanggungjawab membiayai kos dan bukannya mengharapkan Sarawak selaku tuan rumah untuk menanggungnya.

Jelasnya, Sarawak tidak pernah meminta dari negeri yang dipilih sebagai tuan rumah SUKMA sebelum ini untuk membiayai kos pengangkutan dan sebagainya.

“Negeri yang terlibat harus menunjukkan semangat kesukanan dan semangat SUKMA untuk menjayakan temasya ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan lawatan ke venue sukan angkat berat SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pagi tadi.

Gerald mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang tular di media sosial yang dipetik berkata mengharapkan Kerajaan Sarawak dapat menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu pada SUKMA kali ini.

Beliau yang juga Chef De Mission’ kontinjen SUKMA Sarawak menegaskan, Kerajaan Sarawak juga telah mengeluarkan dana yang besar untuk menaik taraf venue-venue SUKMA 2024 serta keperluan-keperluan yang lain.

“Kita telah menyediakan fasiliti dan kita telah menggunakan belanja negeri sendiri untuk membaik pulih, membina dan juga menganjurkan SUKMA kali ini.

“Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan hanya memberi RM50 juta sahaja kepada Sarawak namun kita akan membuat yang terbaik dengan bajet yang kita ada,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Gerald berkesempatan mengadakan lawatan ke pusat latihan angkat berat.