KUCHING: Empat premis jualan menjual rempah ratus di Jalan Gambier di sini diarah tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.
Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Johnny Pangkas berkata, premis-premis itu diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Berdasarkan serbuan hari ini, pihaknya mendapati penyimpanan makanan dan kebersihan premis tidak menepati piawaian kebersihan. Oleh itu, kami mengeluarkan notis penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjalankan operasi pemeriksaan kebersihan di sini, hari ini.
Operasi itu dijalankan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Bahagian Perlesenan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
