Sarawak & Shell MDS terokai teknologi makanan guna gas

KUCHING: Shell Middle Distillate Synthesis (MDS) Malaysia muncul sebagai syarikat pertama di dunia memperkenalkan penghasilan mentega yang disintesis daripada gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penghasilan produk baharu itu merupakan langkah besar ke hadapan negeri ini dalam teknologi makanan dan pembangunan perindustrian.

Jelasnya, produk yang dihasilkan daripada lilin berkualiti tinggi itu menekankan kepelbagaian teknologi gas kepada cecair (GTL) dan berpotensi untuk merevolusikannya ke pelbagai sektor ekonomi termasuk makanan.

Katanya, terdapat banyak produk baharu, teknologi baharu yang akan mengekalkan industri berasaskan gas sebagai bahan makanan.

“Apabila diperakui di peringkat antarabangsa, mentega yang berasal daripada gas ini mampu memberi manfaat kepada industri makanan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd di Hotel Hilton Kuching malam tadi.

Abang Johari menjelaskan, kepentingan gas sebagai bahan mentah untuk sektor petrokimia yang mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi.

Ujar beliau, melalui penubuhan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan menjamin penglibatan aktif tempatan dalam industri berkenaan.

“Kerajaan Sarawak akan kekal sebagai rakan kongsi anda pada masa hadapan. Sudah tentu kita mempunyai pemain baharu termasuk syarikat minyak negara sebagai rakan kongsi.

“Seperti yang kita semua tahu, pada hari ini kita telah meneroka satu lagi medan gas baharu. Mungkin tahun demi tahun, kita mungkin mencari medan lain,” tambahnya lagi.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.