Pelaksanaan projek pembangunan di Sibu lancar

SIBU: Tiada projek sakit melibatkan projek kerajaan yang dilaksanakan di bahagian ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, semua projek kerajaan sedang dilaksanakan di bahagian Sibu melibatkan kos sebanyak RM317.4 juta.

Katanya, projek yang telah diluluskan pelaksanaannya berjumlah RM1.603 bilion.

“Kos keseluruhan projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah diluluskan dan sedang menunggu pelaksanaan ialah RM1.92 bilion.

“Projek tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu menjelang penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan disambung ke RMK-13 pada
2026.

“Setakat ini, tidak ada projek yang dikategorikan sebagai projek sakit. Semua projek kerajaan (Bahagian Sibu) dilaksanakan dengan lancar walaupun ada di antaranya lambat dari jadual namun masih boleh diatasi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Aidel memberitahu, cadangan projek Jalan Teku Pasai-Siong menghubungkan ke Kemuyang akan dilaksanakan di bawah projek rakyat.

“Jalan tersebut yang bermula dari bulatan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ke Pasai-Siong akan menjadi dua laluan ke Kemuyang.

“Kemudian jalan dari Taman Desa Kemuyang ke Jalan Sibu-Bintulu akan dinaik taraf,” katanya sambil memberitahu projek tersebut mencabar kerana melibatkan utiliti, elektrik dan kabel telekomunikasi.

Terdahulu, Aidel mendengar taklimat projek yang disampaikan olehJurutera JKR Bahagian Sibu, Ts Chieng Siong Ming.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh serta yang lain.