SADA luluskan 69 projek pembangunan DUN Lingga

LINGGA: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) meluluskan sebanyak 69 projek pembangunan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga setakat Jun tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek terbabit berjumlah RM1.3 bilion telah diluluskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA baru-baru ini.

“Antaranya ialah pembinaan Kompleks Sukan daerah Lingga, pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Jambatan Batang Lupar 2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jerayawara SADA bersama masyarakat Stumbin di Dewan Ningkai Stumbin, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas SADA, Datu Indit Bangai, Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani dan Jurutera JLR Sri Aman, Ir Minjo Simanding.