Pangkalan Kpg Sungai Aur Telaga Air dinaik taraf, lebih selamat

KUCHING: Peruntukan sebanyak RM270,000 akan dibelanjakan bagi membaik pulih serta menaik taraf pangkalan awam di Kampung Sungai Aur, Telaga Air di sini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri.

“Jadi, saya telah dimaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM270,000 akan dibelanjakan untuk menaik taraf pengkalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pantai Damai di Telaga Air di sini, hari ini.

Dr Junaidi berkata, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf tersebut perlu kerana struktur pontun pangkalan yang tidak tahan hakisan tanah dan juga arus air yang kuat.

“Saya telah membina pontun ini sebanyak tiga kali sejak saya menjadi wakil rakyat di sini dan ini masuk ke kali keempat,” tambahnya.

Beliau sehubungan itu berharap struktur yang lebih kuat akan dapat dibina di pangkalan ini untuk keselamatan dan kemudahan penduduk kampung.