Tujuh menara JENDELA beroperasi di Parlimen Igan

KUALA LUMPUR: Tujuh menara baharu daripada 14 yang dirancang di bawah inisiatif Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dan beropasi di kawasan Parlimen Igan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kesemua 51 stesen pemancar juga telah siap dinaik taraf dan sebanyak 1,391 premis daripada 2,791 yang dirancang telah tersedia dengan capaian jalur lebar gentian optik.

Manakala dua daripada 14 menara yang dirancang akan memberikah perkhidmatan di kawasan pesisir dan rumah panjang di Parlimen Igan, katanya menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Fahmi berkata, menara di Kampung Beruan Besar telah siap dan kini dalam proses pemasangan peralatan elektronik, manakala menara di feri Daro masih dalam proses pembinaan.

“Kedua-dua menara dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung 2024,” tegas beliau.

Selain inisiatif pelan JENDELA, beliau berkata, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Digital Ekonomi Sarawak (SDEC) juga sedang melaksanakan inisiatif pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) bagi menambah baik liputan internet di Sarawak.

Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan dan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih bersetuju berkongsi kos pembiayaan bagi operasi menara di bawah inisiatif tersebut untuk tempoh tiga tahun.

Setakat ini, tambahnya, tiga menara baharu telah beroperasi dan 10 menara masih dalam peringkat pelaksanaan di bawah inisiatif SMART 600 di Parlimen Igan.

Kerajaan melalui kementeriannya, kata Fahmi, juga melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah ‘Point of Presence’ (PoP) hab gentian optik.

Sehingga 13 Jun 2024, katanya, 67 PoP berjaya disiapkan sepenuhnya bagi fasa satu, manakala 138 PoP daripada 681` PoP bagi fasa kedua berjaya disiapkan di negeri Sarawak dan menjadikan 22,058 premis tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat.

Fahmi berkata, daripada jumlah tersebut, dua PoP telah selesai dibina sepenuhnya bagi fasa satu dan empat PoP daripada 16 PoP berjaya disiapkan bagi fasa dua di Parlimen Igan.

Bakinya dijadual siap pada 2025, tambahnya dan menegaskan, ini menjadkan 656 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti di Parlimen Igan.

Ahmad Johnie dalam soalannya meminta Kementerian Komunikasi menyatakan apakah tindakan dan perancagnan yang dibuat dalam usaha menaik taraf perkhidmatan internet di kawasasn luar bandar khususnya di kawasan pesisir rumah panjang di seluruh kawasan Parlimen Igan.