Kompleks IPD Lawas perlukan keperluan asas lengkap

LAWAS: Pengorbanan pasukan Polis dan anggota keselamatan lainnya tidak wajar diperlekehkan kerana mereka sentiasa berada di barisan hadapan menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, justeru keperluan asas kediaman anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas yang baharu harus diberi keutamaan.

Bangunan kediaman IPD baharu daerah Lawas itu didapati tidak memiliki perabot dan bekalan elektrik yang menyebabkan keluarga mereka berada dalam keadaan tidak selesa, katanya semasa lawatan kerja ke bangunan IPD baharu Lawas di Jalan Banting-Kuala Lawas di sini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak bertanggungjawab bertindak segera memastikan segala kemudahan dan keperluan keluarga anggota polis itu diambil tindakan segera khususnya bekalan elektrik.

“Kompleks itu begitu cantik sekali cuma dari bangunan kediaman itu tidak disediakan dengan peralatan asas seperti katil, kerusi dan perabot asas.

“Maka, saya minta pihak berkuasa melihat perkara ini supaya mereka dapat tinggal di tempat itu dengan selesa,” tambahnya.

Malah, beliau juga terkejut mendapati tidak ada bekalan elektrik sedangkan mereka sudah tinggal di situ dan menghubungi SEB untuk melihat perkara itu bagi mempastikan mereka mendapat bekalan elektrik dengan segera.

Pada lawatan itu beliau turut menunaikan solat zohor bersama anggota dan pegawai polis IPD Lawas di surau baru kompeks IPD Lawas.