Rujuk status tanah sebelum bina rumah panjang

BINTULU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena diharap tidak terlalu bergantung geran dari kerajaan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini bagi menjayakan projek pembangunan di penempatan mereka.

“Berdikari dan berusaha mencari alternatif sendiri bagi menampung kos pelaksanaan pembangunan rumah panjang atau kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Kemena di Jabatan Pertanian, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga mahu JKKK terbabit merujuk status tanah kepada agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah panjang baharu di kawasan yang telah dikenal pasti.

Katanya, ini perlu bagi memastikan tapak terbabit bukan tanah rizab kerajaan, hutan tanaman, tanah pajakan sementara atau Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang ada pemilik bagi tidak menimbulkan sebarang pertelingkahan.