BDA meterai MoU dengan UNICEF Malaysia

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan menyertai pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini melaksanakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).

CFCI adalah program kerajaan negeri yang bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk meningkatkan taraf hidup kanak-kanak di setiap PBT.

Pengurus Besar BDA, Datuk Muhamad Yakup Kari berkata, beliau berharap pihaknya dapat memastikan bandar selamat, inklusif dan persekitaran menyokong kanak-kanak berkembang maju melalui kerjasama strategik dengan UNICEF dalam program itu.

“CFCI ini juga akan melengkapi konsep bandar pintar dan Program Hijau Kelestarian Alam Sekitar yang kami laksanakan berdasarkan enam fokus strategik yang diketengahkan dalam pelan strategik BDA 2024-2030,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman(MoU) Inisiatif Mesra Kanak-Kanak Antara BDA dan UNICEF Malaysia di Wisma Bintulu, di sini, hari ini.

UNICEF Malaysia diwakili Robert Gass dan masing- masing disaksikan Pakar Dasar Sosial UNICEF Malaysia, Yin Yee Tham dan Setiausaha BDA, Wan Ibrahim Wan Ali.