MIRI: Kerajaan Sarawak mahu mencontohi konsep pertanian moden digunakan di Jepun dan Taiwan untuk membangunkan kawasan penanaman di kawasan perumahan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, konsep yang menerapkan pertanian pintar terbukti keberhasilannya kerana menggunakan teknologi terkini termasuk Internet Benda (IoT) dan pertanian rumah hijau.
Menurutnya, konsep tersebut dibangunkan di kawasan seluas 326 ekar di Kuala Baram dan jika berjaya, ia akan diperluaskan di kawasan lain terutamanya luar bandar.
“Harapan saya agar kawasan ini berjaya dan itu akan menjadi contoh untuk kita bincangkan dalam skim perumahan lain khususnya di kawasan baharu.
“Kita ada Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir dan ini juga akan memberi manfaat kepada rakyat di luar bandar untuk menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Smart Farming Kuala Baram di sini.
Hadir sama isteri beliau Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
