Permohonan bekalan elektrik, air jalan baharu Mengatai, Buang Abai sejak 2023

LIMBANG: Pembinaan tiang elektrik baharu serta penyambungan bekalan air bersih di sepanjang jalan baharu dari Mengatai hingga Buang Abai sehingga Telahak telah dipohon bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata permohonan ini dibuat oleh pemimpin-pemimpin di Limbang sejak jalan baharu itu dibina pada 2023.

“Kebanyakan penduduk sudah mula pindah ke tepi jalan baharu dan rumah-rumah baharu dibuat di tepi-tepi jalan. Tetapi tiang-tiang elektrik ni belum berdiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek ke Sekolah Kebangsaan (SK) Limpaku Pinang di sini, hari ini.

Hasbi Habibollah berkata, begitu juga dengan paip bekalan air yang ke rumah penduduk disebabkan belum ada penyambungan bekalan air bersih.

Selain itu, beliau optimis pelaksanaan projek sistem grid negeri yang sedang giat dibangunkan ketika ini mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik di Limbang.