SIBU: Prihatin dan berdukacita dengan tragedi renjatan elektrik melibatkan murid di Daro, Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli menziarahi keluarga mangsa di Hospital Sibu hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menerusi kenyataan di Facebooknya memberitahu, dalam kunjungan tersebut, Omar melawat murid yang sedang menerima rawatan serta menyampaikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga agar terus tabah menghadapi ujian yang amat berat ini.
Beliau turut hadir ke Bilik Mayat Hospital Sibu bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada murid yang meninggal dunia susulan tragedi berkenaan.
Beliau turut bersama-sama menunaikan solat jenazah sebagai tanda penghormatan dan solidariti kepada keluarga mangsa.
Kehadiran beliau mencerminkan keprihatinan serta komitmen JPN Sarawak terhadap kebajikan dan kesejahteraan murid serta keluarga yang terkesan dengan insiden tersebut.
Turut hadir bersama ialah pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Daro dan Sibu.
JPN Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan ini.
Doa turut dipanjatkan agar murid yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera.
Gambar: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
