Pembinaan parit tangani banjir kilat pekan Saratok

SARATOK: Peruntukan sebanyak RM600,000 sudah dipohon bagi membina dua parit yang perlu untuk mengatasi banjir kilat di pekan Saratok di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembinaan dua parit itu juga boleh menyelesaikan banjir kilat di kawasan Taman Muhibbah.

“Permohonan itu sudah kita majukan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong untuk tindakan yang secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah panjang baharu Rumah Bidah Tambi, Sungai Entangor, Batu Burak yang turut dihadiri ADUN Krian, Friday Belik.

Selain itu, Mohamad Duri menggesa rakyat di DUN Kalaka yang membina rumah panjang baharu untuk memanfaatkan Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang (SPPRP).

Katanya, skim terbabit inisiatif Kerajaan Sarawak dan disediakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).