KUCHING: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) adalah manifestasi Kerajaan Sarawak dalam mewujudkan keharmonian kaum selaras dasar keterangkuman sosial yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, UNIFOR hanya ditubuhkan di Sarawak merupakan bukti komitmen Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengukuhkan semangat perpaduan kaum dan agama di negeri ini.
“UNIFOR telah menerima peruntukan sejumlah RM380 juta sejak 2017 sehingga sekarang, tidak termasuk peruntukan dana tambahan daripada Premier Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah UNIFOR di Kuching malam tadi.
Uggah menjelaskan, UNIFOR akan terus memastikan peruntukan yang diberi akan disalurkan kepada rumah ibadat yang memerlukannya secara adil.
Dalam majlis sama, mantan Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat telah menyerahkan tugas secara rasmi kepada Dato Georgina Apphia Ngau yang merupakan mantan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
GAMBAR:UKAS
