RM20 bilion diperuntuk bangunkan jalan raya, jalan pesisir

BINTULU: Pembangunan jaringan jalan raya yang membabitkan kos besar akan menjurus kepada kemajuan sektor pertanian, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya jaringan jalan raya usahawan tani boleh mendapatkan askes kepada pasaran luar.

Untuk membangunkan jaringan jalan raya itu termasuk jalan pesisir, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM20 bilion setakat ini, katanya pada majlis penutupan Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS2024) di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pembangunan jaringan jalan raya terus menjadi fokus Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan ketersambungan di seluruh wilayah ini di samping memperkasakan sektor pertanian tempatan.

Membina jaringan jalan raya itu membabitkan kos tinggi disebabkan keperluan di kawasan berdekatan sungai, contohnya projek Jambatan Bintulu-Jepak yang bernilai lebih RM400 juta, katanya.

“Jambatan ini akan menyediakan akses di antara kawasan bandar Bintulu dan Jepak. Seterusnya, dari Jepak kita akan dapat ke Tatau.

“Ini akan membuka kawasan berkenaan untuk aktiviti pertanian selain lading sawit,” tegas beliau.

Akses kepada pasaran luar merupakan faktor penting dalam pembangunan pertanian, selain faktor teknologi dan infrastruktur, katanya.

Di samping itu, Abang Johari berkata, sistem pengairan dan saliran juga dijadikan keutamaan untuk fasa pertama pembangunan kawasan seluas 3,000 ekar merangkumi Tanjung Bijat, Stumbin dan Lingga di Sri Aman, Gedong dan Simunjan serta Lundu sebagai lokasi penanaman padi.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tidak boleh menunggu keputusan Putrajaya kerana ini adalah keperluan mendesak.

“Justeru, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM500 juta untuk membangunan kawasan terbabit dengan peruntukan awal sebanyak RM32 juta telah disalurkan untuk Gedong dan kita akan memajukan sistem pengairan dan saliran di Sri Aman, Lingga, Tanjung Bijat dan Lundu,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak diwakili Pengarahnya Dominic Chunggat dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diwakili Naib Canselor UPM Dato’ Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

Perkongsian ini membuka lembaran baharu dalam kecemerlangan dan inovasi pertanian sekali gus membuka ruang untuk kemajuan masa depan yang akan memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan pihak lain.

Turut diadakan penyampaian hasil kerjasama penyelidikan antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani dan UPM Kampus Bintulu diwakili Pengarahnya Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.