Projek mega perkukuhkan Bintulu sebagai hab industri

BINTULU: Pelbagai projek pembangunan strategik dilaksanakan di bahagian ini berjaya mengubah landskap pembangunan kawasan itu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kemajuan itu sekali gus memperkukuh ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Antaranya katanya, projek yang menjadi pemangkin utama pembangunan di bahagian ini ialah Taman Perindustrian Samalaju, Loji Metanol Petrokimia, pembangunan Jepak, pembangunan kawasan pesisir pantai, Jambatan Tun Taib serta pembangunan kawasan Tatau dan Sebauh.

Menurutnya, operasi Loji Metanol Petrokimia di Bintulu turut mengukuhkan kapasiti industri hiliran dan eksport Sarawak.

“Taman Perindustrian Samalaju yang ditetapkan untuk industri intensif tenaga termasuk aluminium, ferroalloy dan polycrystalline silicon memberi sumbangan besar kepada pembangunan Sarawak,” katanya dalam ucapan aluan Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Bintulu, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan program tersebut.

Menurutnya, setakat 2025, kawasan perindustrian Samalaju menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 9,200 pekerja dengan 82 peratus daripadanya merupakan warga Sarawak.

Selain itu katanya, kawasan tersebut turut membayar kira-kira RM700 juta gaji tahunan, menyumbang RM6.2 bilion kepada ekonomi tempatan menerusi sektor logistik, pengangkutan, utiliti, katering dan penyelenggaraan serta merekodkan eksport produk logam asas bernilai RM16.58 bilion.

Dalam perkembangan lain, Dr Rundi berkata, projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Jelutong menunjukkan kemajuan positif apabila fasa satu berjaya disiapkan melibatkan 97 unit kediaman yang kini sedia untuk didiami.

Katanya, Fasa II pula sedang giat dilaksanakan melibatkan 768 lot yang bakal membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah serta pembangunan komuniti baharu di kawasan berkenaan.

Program siri ketiga itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Hadir sama, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta menteri-menteri dan timbalan menteri Kabinet Sarawak.