Kawasan Nyalau bakal ditransformasikan sebagai pusat bandar baharu, sokong industri Samalaju

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membangunkan kawasan Kampung Nyalau di sini sebagai pusat bandar baharu bagi menyokong pertumbuhan industri pelaburan di Samalaju.

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan itu akan dilaksanakan tanpa menjejaskan penduduk di kawasan terbabit.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan induk jangka panjang kerajaan negeri sehingga tahun 2050.

“Kawasan baharu yang moden ini akan menjadi sistem sokongan kepada pelabur yang datang ke Samalaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu, di sini, hari ini.

Program siri ketiga itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Hadir sama, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta menteri-menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak.

Lebih 5,000 orang menghadiri program tersebut yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik.

Sementara itu, dalam sidang medianya pula, Premier menjelaskan, tiga kampung di kawasan Kuala Nyalau akan disepadukan dalam pembangunan pelan induk yang merangkumi kawasan Jepak dan Samalaju.

Katanya, langkah berkenaan turut memperkukuhkan jaringan pembangunan Bintulu serta meningkatkan ekonomi penduduk.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata Sarawak mencadangkan pembangunan teknologi tenaga solar baharu yang berupaya menyimpan tenaga untuk tempoh lebih lama tanpa bergantung kepada sistem penyimpanan bateri (BESS), menerusi kerjasama penyelidikan dengan pakar universiti tempatan.

Cadangan itu katanya, dibincangkan bersama Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pasukan penyelidik Fakulti Kejuruteraan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga.

Beliau menjelaskan, Sarawak mempunyai potensi besar dalam industri semikonduktor selain kekayaan sumber bahan mentah seperti silika dan silikon yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan teknologi penyimpanan tenaga generasi baharu.

Katanya, usaha tersebut dilihat mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan tenaga mampan dan teknologi hijau di rantau ini.