MAKSAK Wanita Sarawak hulurkan sumbangan pada pesakit Hospital Bintulu

BINTULU: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak menyalurkan sumbangan dan bantuan sempena Hari Gawai di Hospital Bintulu di sini, hari ini.

Anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai program terbabit bersama Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datuk Baduyah Bujang.

Antara pengisian program ialah penyampian sumbangan sebanyak RM100 kepada pesakit Wad Kanak-kanak yang disediakan menerusi Dana Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak dan bantuan MAKSAK Cares sebanyak RM500 seorang.

Sumbangan itu bagi membantu Jani Ding dan Abdul Manap Nahar yang menghidap penyakit kronik mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini.

Selain itu, penyampaian sumbangan hamper SARA Cares kepada Pengarah Hospital Bintulu, Dr Suzalinna Sulaiman dan sumbangan sebanyak 20 kotak barangan runcit bernilai RM100 setiap satu kepada kakitangan hospital yang kurang berkemampuan.

Jani Ding merupakan pesara di Pejabat Daerah Bintulu yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pembantu Tadbir Kewangan 15 Julai 2023 manakala, Abdul Manap Nahar pula pesara Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Operasi N14, 29 Februari 2024.

Turut diadakan penyampaian geran tahunan MAKSAK Wanita Sarawak kepada Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Bintulu, Datin Rubiah Nyurang sebagai sokongan pelaksanaan aktiviti kebajikan di peringkat bahagian.