Penipuan dalam talian meningkat, kerugian RM680.3 juta dicatat

KUCHING: Jenayah penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan ketara di negara ini apabila sebanyak 23,367 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga April lalu.

Jenayah itu merekodkan kerugian mencecah RM680.3 juta.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Cheng berkata, angka tersebut diperoleh berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia yang memperlihatkan trend jenayah siber semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat Kuching di Tropics City, di sini, hari ini.

Dalam masa sama kata Teo, perkembangan itu bukan sahaja membabitkan kerugian besar kepada mangsa, malah turut mencerminkan cabaran baharu dalam aspek keselamatan digital yang semakin sukar dibendung.

Pada 2024 katanya, sebanyak 35,470 kes dilaporkan membabitka kerugian kira-kira RM1.5 bilion.

“Jumlah itu meningkat mendadak pada 2025 kepada 74,744 kes, melibatkan kerugian hampir RM2.9 bilion,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, puluhan ribu kes direkodkan, sekali gus membuktikan isu tersebut semakin serius dan memerlukan tindakan berterusan.

Katanya, selain penipuan kewangan, platform dalam talian kini turut disalahgunakan untuk aktiviti buli siber, penyebaran kandungan tidak bermoral, perjudian dalam talian serta penyebaran berita palsu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan isu buli siber dan gangguan dalam talian masih berada pada tahap membimbangkan.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merekodkan sebanyak 59,290 permohonan penurunan kandungan antara 2022 hingga April 2026.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44,676 kandungan telah berjaya diturunkan oleh pihak platform sebagai usaha melindungi keselamatan serta kesejahteraan pengguna,” katanya.