BINTULU: Prapelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Bintulu berlangsung dalam suasana ringkas disempurnakan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di sini, hari ini.
Siri ketiga program mendekati rakyat itu anjuran Kerajaan Sarawak berlangsung mulai hari ini hingga 24 Mei ini.
Hadir sama pada prapelancaran, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara, dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sebanyak 47 kaunter pameran daripada pelbagai agensi kerajaan selain 50 gerai jualan usahawan tempatan beroperasi di Bintulu Kitchen.
Menurut kenyataan media Program SKS itu, masyarakat berpeluang mendapatkan penerangan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif kerajaan daripada jabatan dan agensi kerajaan.
Ini termasuk Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), penerangan mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), peluang kerjaya melalui JobSarawak serta sesi konsultasi bersama agensi kerajaan dan syarikat sektor minyak dan gas, tenaga, perindustrian, perladangan dan kewangan.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk sukaneka rakyat, pertandingan e-sukan, persembahan kebudayaan, Konsert Rakyat dan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim di Khemah Utama.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan program tersebut yang dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
“Pengunjung juga berpeluang mendapat cabutan bertuah dengan memenangi hadiah utama berupa sebuah kenderaan Proton e.MAS 5,” menurut kenyataan itu.
Turut disediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti saringan kesihatan, saringan kecergasan, pameran kesihatan serta vaksinasi influenza khusus untuk warga emas secara percuma.
