Laluan Nanga Bangkit–Jalan Sibu–Tanjung Manis pemangkin ekonomi masyarakat

SARIKEI: Laluan baharu ‘Missing Link’ yang menghubungkan Nanga Bangkit, Muara Lebaan hingga ke Jalan Sibu–Tanjung Manis menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan pesisir Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek sejauh 5.6 kilometer (km) itu mungkin kelihatan kecil dari segi panjang jajaran, namun kesannya besar kerana melengkapkan sistem jaringan jalan raya yang selama ini belum sempurna di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, dengan adanya sambungan jalan ini, penduduk akan menikmati kemudahan perhubungan yang lebih lancar.

“Pembinaan laluan itu turut membuka peluang baharu kepada pemilik tanah di sepanjang koridor projek, apabila kawasan yang sebelum ini agak terpencil kini berpotensi untuk dibangunkan seiring peningkatan akses infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri yang turut melibatkan pembayaran kepada individu terlibat dalam pengambilan tanah.

Dr Safiee menjelaskan, projek tersebut kini berjalan lancar dan dijangka siap dalam tempoh kurang 30 bulan.

Beliau yakin pelaksanaannya disempurnakan mengikut jadual hasil pemantauan berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).