Pelbagai inisiatif disediakan demi kesejahteraan rakyat – Dr Safiee

DARO: Kerajaan Sarawak komited memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian melalui pelbagai bantuan dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kawasan luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan semasa.

Antara fokus utama katanya, pembangunan di kawasan Daro termasuk penambahbaikan kemudahan asas, jaringan jalan raya, pembangunan ekonomi, kemudahan pendidikan serta prasarana yang mampu memberi keselesaan kepada penduduk.

“Pembangunan yang rancak dilaksanakan hari ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan kawasan Daro terus maju serta mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ibadah Korban 1447H/2026M dan Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) N.43 Daro anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro, petang semalam.

Dr Safiee turut menggesa semua pihak agar terus mengekalkan perpaduan dan semangat kerjasama demi memastikan agenda pembangunan di kawasan Daro dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.