Industri nipah Kampung Tambak berpotensi tingkatkan ekonomi luar bandar

PUSA: Pembangunan industri nipah di Kampung Tambak berpotensi meningkatkan pendapatan penduduk sekali gus memperkukuhkan ekonomi komuniti luar bandar di Beting Maro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata produk berasaskan nipah termasuk gula apong mempunyai nilai komersial tinggi dan mampu dikembangkan sebagai sumber ekonomi masyarakat di kawasan tersebut.

“Nipah merupakan produk bernilai tinggi yang mampu menghasilkan pelbagai produk yang berasaskan nipah dapat meningkatkan pendapatan penduduk sekali gus memperkukuhkan ekonomi Kampung Tambak,” katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Komuniti Beting Maro di Kampung Tambak, Pusa hari ini.

Razaili berkata, Kampung Tambak juga terkenal sebagai pengeluar gula apong terbaik di Malaysia sekali gus membuktikan industri tersebut mempunyai potensi besar untuk terus diperkasakan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan industri nipah dan apong sebagai usaha memperkukuh ekonomi penduduk.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembinaan kompleks sukan di Daerah Pusa.