KUCHING: Sikap prihatin dan komitmen berterusan pertubuhan sukarela membantu golongan memerlukan membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat di Sarawak kukuh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha kebajikan itu penting bagi memastikan golongan sasar menikmati faedah menjelang sambutan perayaan utama.
Beliau memuji inisiatif Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng yang konsisten melaksanakan aktiviti kebajikan demi membantu meringankan beban keluarga miskin dan berpendapatan rendah.
Menurutnya, semangat saling membantu dan berkongsi rezeki itu membuktikan rakyat negeri ini bersatu padu dan saling menghormati.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Gawai Dayak 2026 anjuran Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini, hari ini.
Dalam program tahunan itu, seramai 90 keluarga Dayak sekitar bandar raya Kuching menerima bakul makanan bernilai kira-kira RM400.
Selain itu, setiap penerima turut menerima sumbangan tunai RM50 yang disampaikan oleh Pengerusi Sarawak Hun Nam Siang Tng, Tay Boon Sin, sebagai persiapan menyambut Hari Gawai.
