BINTULU: Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) Samalaju kini mencapai kemajuan sebanyak 37 peratus dan bakal memainkan peranan penting dalam menyokong peningkatan permintaan tenaga elektrik.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata, ini khususnya dari Taman Perindustrian Samalaju serta keseluruhan grid Sarawak.
“Projek ini akan menyediakan kapasiti penjanaan berasaskan gas bagi melengkapkan sumber tenaga hidro boleh diperbaharui Sarawak, di samping meningkatkan kebolehpercayaan sistem, fleksibiliti operasi dan keselamatan tenaga secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan tapak ke pembangunan tenaga utama di Samalaju yang merangkumi Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) dan Projek Saluran Paip Samalaju (SPL).
Lawatan tersebut dianjurkan bersama Sarawak Energy serta Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Menurut Julaihi, projek ini melibatkan pembinaan loji janakuasa tiga blok Turbin Gas Kitaran Gabungan dengan kapasiti kira-kira 1,500 megawatt (MW).
Beliau menambah, projek CCPP Samalaju dijangka memulakan operasi komersial secara berperingkat pada 2027, sebelum mencapai operasi penuh menjelang 2029.
Dalam pada itu, Julaihi memaklumkan bahawa Projek Saluran Paip Samalaju milik PETROS kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan 97 peratus.
Katanya, saluran paip berkenaan berupaya menyalurkan sehingga 300 juta kaki padu standard gas asli sehari (mmscfd) dari Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP), dengan komponen luar pesisir telah berjaya disiapkan pada Oktober 2025.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur tenaga dan gas secara bersepadu di Samalaju akan memperkukuh sistem tenaga Sarawak serta menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan sektor perindustrian negeri.
“Saya memuji usaha berterusan Sarawak Energy dan PETROS dalam membangunkan keupayaan tempatan serta memastikan penyertaan bermakna rakyat Sarawak dalam pelaksanaan projek strategik ini,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming; Naib Presiden Kanan Strategi dan Pembangunan Korporat Sarawak Energy, Dr Chen Shiun; Naib Presiden Kanan Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan PETROS, Ismail Said; serta Pengurus Projek SPL, Jerry Siran Langan.
