HIP dilaksana dalam masa terdekat

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan Program High Immersive (HIP) kepada pelajar sekolah di negeri ini.

HIP diperkenal Kementerian Pendidikan sejak 2016 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar melalui peningkatan pendedahan kepada bahasa itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ae berkata guru besar atau pengetua, guru, pelajar, komuniti dan ibu bapa adalah objektif utama program ini dan tidak akan berjaya sekiranya tidak bekerjasama.

“Oleh itu, saya beri jaminan bahawa kita akan melaksanakan program tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penutupan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris (SELES) di sini hari ini.

Annuar menjelaskan, satu tinjauan akan diadakan mengenal pasti kekangan dihadapi sekolah terutamanya di luar bandar dalam melaksanakan HIP.

Katanya hasil tinjauan itu, akan dibincangkan dalam bengkel yang akan menfokuskan kepada menangani kekurangan dihadapi guru dalam memperkasa program tersebut di sekolah, terutama di luar bandar.