ART dengan reka bentuk aspirasi Sarawak dijangka tiba tahun ini

BINTULU: Sistem Transit Aliran Automasi (ART) dengan reka bentuk menggambarkan aspirasi dan keperkasaan Sarawak yang pertama dijangka tiba di bandaraya ini pada penghujung
tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini ART tersebut sedang dihasilkan di China dan beberapa reka bentuk telah dicadangkan Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Sarawak Metro.

“Tetapi hanya satu sahaja yang dipilih untuk menggambarkan aspirasi dan keperkasaan Sarawak,” katanya pada majlis Sambutan Hari Sarawak 2024, di sini, malam ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof serta isteri, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri, menteri dan timbalan menteri peringkat negeri dan persekutuan.

Abang Johari berkata, beliau juga berasa bangga untuk berkongsi visual mengenai rupa dan reka bentuk akhir ART tersebut pada sambutan itu yang penuh bermakna bagi semua anak Sarawak.

Menurutnya, ART ini yang menggunakan hidrogen akan membawa transformasi kepada sistem pengangkutan awam di Sarawak dengan permulaannya di Kuching dengan pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

“Pada ketika ini, Sarawak Metro sedang gigih melaksanakan kerja-kerja untuk menyediakan landasan khas, stesen perhentian dan depo untuk ART tersebut bagi Kuching dan Kota Samarahan,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mengulangi kenyataan bahawa Sarawak tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana entiti nasional seperti yang cuba ditularkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya amat berharap pihak-pihak tersebut tidak mempolitikkan hasrat rakyat Sarawak untuk sama-sama berkecimpung dalam industri minyak dan gas di negara ini,” tambahnya.

Abang Johari berkata, ini kerana kuasa dan sumber negara ini harus dikongsi dengan lebih adil dan saksama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *