Tuntutan semula hak tidak bermakna Sarawak pinggirkan kepentingan negara

BINTULU: Perjuangan Sarawak untuk menuntut semula hak-hak tidak bermakna kerajaan negeri tidak prihatin terhadap kepentingan negara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebaliknya beliau bersama rakan-rakan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus membawa Sarawak untuk menyokong Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Kerajaan Sarawak akur bahawa Kerajaan Persekutuan perlu stabil untuk menempuh masa depan yang penuh dengan cabaran.

Dalam hal ini, beliau menzahirkan terima kasih kepada Anwar dan barisan kabinet beliau kerana prihatin terhadap usaha untuk menghormati perjanjian antara pemimpin terdahulu ketika menubuhkan Malaysia.

“Dengan pengembalian hak-hak ini, saya amat yakin Sarawak boleh menjadi kuasa ekonomi baharu di negara ini dan rantau Asia.

“Saya yakin bahawa jika Sarawak maju, Malaysia secara keseluruhannya juga sama-sama menikmati kemajuan ini kerana hasil kutipan cukai, termasuk cukai korporat dan cukai pendapatan semuanya dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2024 di Lapangan Terbang Lama Bintulu malam ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof serta isteri, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri, menteri dan timbalan menteri peringkat negeri dan persekutuan.

Abang Johari berkata, Sarawak kini menentukan hala tuju ekonominya sendiri yang berkisar pada inisiatif-inisiatif selaras dengan usaha sejagat menangani perubahan iklim.

Ujar beliau, dasar ekonomi hijau ini telah mengetengahkan banyak peluang untuk mentransformasikan ekonomi negeri ini dari segi mempertingkatkan pelaburan asing dan tempatan seperti yang sedang dan akan berlaku di Bintulu.

“Saya yakin ekonomi Sarawak akan terus berkembang keseluruhannya dengan pembangunan Tanjung Kidurong sebagai hab industri gas Sarawak dan Samalaju sebagai kawasan industri yang berasaskan penggunaan tenaga yang intensif.

“Oleh itu, saya juga yakin ekonomi Sarawak akan terus berkembang dalam tempoh sehingga 2030 dan sehingga 2050 dan memperkukuhkan status Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Tambah Abang Johari lagi, fokus Kerajaan GPS kini untuk mempertingkatkan pendapatan pertengahan isi rumah Sarawak yang berada pada tahap RM4,978 berbanding kadar nasional pada tahap RM6,338.

Katanya yakin, dengan langkah-langkah untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak yang sedang dan akan dilaksanakan, negeri ini akan berupaya untuk mempertingkatkan tahap yang ada sekarang untuk melepasi kadar nasional.

Abang Johari turut memperagakan reka bentuk akhir Sistem Transit Aliran Automasi (ART) yang sedang dibangunkan di China.

Lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan malam kemuncak sambutan Hari Sarawak malam ini.