Permohonan masukkan Pesta Ikan Buntal Kampung Mangut dalam kalendar pelancongan

SARIBAS: Permohonan akan dilakukan bagi memasukkan Pesta Ikan Buntal di Kampung Mangut di sini dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata permohonan itu akan dikemukakan penganjur kepada Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

“Sama ada ia dilaksanakan setiap tahun, dua tahun sekali dan sebagainya itu kita serah kepada kementerian berkenaan untuk membantu dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penangguhan Pesta Ikan Buntal di Dewan Sri Saribas, Kampung Mangut, di sini, hari ini.

Mohammad Razi berkata, permintaan tinggi termasuk dari Semenanjung terhadap ikan tersebut menjadikan Kampung Mangut kini semakin dikenali sebagai pengeluar ikan buntal yang enak di Sarawak.

“Dengan kerjasama daripada Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu akan memastikan impian ini menjadi kenyataan,” katanya.