BINTULU: Rakyat Sarawak diajak memperingati dan menghayati tarikh bersejarah 22 Julai 1963 yang menjadi detik bermulanya negeri ini ditadbir oleh anak Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Hari Sarawak yang diraikan pada setiap tahun menjadi titik penyatuan rakyat untuk mengejar impian menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju menjelang 2030.
“Adalah wajar bagi terus memperingati peristiwa bersejarah pengambilalihan pentadbiran negeri oleh anak Sarawak sendiri.
“Ini bagi memperingati peristiwa bersejarah anak Sarawak diberi kuasa untuk mentadbir negeri sendiri genap 61 tahun yang lalu pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Townhall sempena Perayaan Hari Sarawak 2024 di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu hari ini.
Mengimbau detik bersejarah itu, beliau berkata, Hari Sarawak memberi peluang kepada rakyat negeri ini untuk mengenang dan menghargai identiti serta warisan mereka.
“Ini juga membantu memupuk rasa cinta dan kebanggaan terhadap negeri Sarawak. Hari bersejarah ini juga memberi peluang untuk mengenang jasa pemimpin dan pejuang yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan kebebasan Sarawak.
“Ia ialah masa untuk mengiktiraf usaha mereka dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak,” jelas beliau lagi.
Malah katanya Malaysia tidak akan wujud tanpa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Awang Tengah menambah, sambutan Hari Sarawak 2024 yang diadakan di Bintulu pada tahun ini menjadi wadah untuk memperkuat semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama.
Hadir sama Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.
