Kajian sambung saluran gas ke rumah Bintulu dijangka siap tahun ini

BINTULU: Sarawak akan membuat penyambungan saluran gas di setiap rumah dan premis di Bintulu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, satu kajian mengenai penyambungan terbabit sedang dijalankan.

“(Kajian terbabit ) dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya semasa Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Awang Tengah juga mendedahkan kawasan Jepak di Bintulu akan dibangunkan dengan kediaman, bangunan, pejabat atau komersil serta rekreasi.

Katanya, sebanyak 7,000 lot kediaman akan dibangunkan di Bintulu yang akan dilaksanakan agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, menurutnya Sarawak kini destinasi pelaburan penting termasuk di Bintulu yang menempatkan Kidurong, Samalaju taman industri dan taman industri petrokimia.

“Jumlah pelaburan bagi lima tahun lalu mencecah RM45 bilion sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada 15,000 orang,” tambahnya.

Awang Tengah berkata, dari segi peluang perniagaan bagi peniaga tempatan di Samalaju sahaja mencecah RM6.3 bilion tahun lalu.