Sarawak berpotensi jana 20 GW tenaga diperbaharui

BINTULU: Sarawak berpotensi menjana 15 hingga 20 gigawat (GW) tenaga bersih di masa hadapan melalui sumber tenaga boleh diperbaharui berasaskan solar terapung yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berdasarkan kajian Sarawak Energy Berhad (SEB), Empangan Hidro Batang Ai mampu menjana lebih 2 GW tenaga menerusi teknologi solar terapung jika keseluruhan kawasan perairan empangan itu digunakan sepenuhnya.

Katanya, untuk menghasilkan 50 megawat (MW) tenaga hanya memerlukan kawasan seluas 86 hektar dari keseluruhan 8,500 hektar kawasan Batang Ai.

“Batang Ai boleh menjana lebih dari dua GW. Bagaimana pula di Bakun, Murum dan Baleh. Kita ada banyak sumber tenaga diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Dialog Perniagaan Bersama Premier Sarawak: Pembangunan Tenaga Diperbaharui anjuran Dewan Perniagaan & Industri Sarawak di Dinner World Restaurant Bintulu hari ini.

SEB menjalin kerjasama dengan Petchem untuk membangunkan loji percubaan menjana tenaga melalui gelombang atau tenaga kinetik.

Katanya, jika berjaya, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di rantau Asia Tenggara menjana tenaga melalui teknologi baharu itu.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg,
Naib Presiden & Pengerusi SCCI Wilayah Bintulu Tan Sri Dato’ Paul Koon Poh Keong.