KUCHING: Program komuniti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama pusat beli belah The Spring, Karnival STEAM Kids mendapat sokongan daripada komuniti tempatan.
Acara empat hari yang bermula dari 18 hingga 21 September itu disertai lebih daripada 300 pengunjung termasuk lebih 100 pengunjung kanak-kanak.
UiTM Cawangan Sarawak menerusi kenyataan berkata, kejayaan karnival ini merupakan pencapaian penting dalam mempromosikan pendidikan STEAM dalam kalangan komuniti.
”UiTM Cawangan Sarawak berbangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan komited untuk terus menganjurkan program yang memberi impak positif kepada pembangunan generasi akan datang.
”Kejayaan karnival ini membuktikan bahawa pendidikan berasaskan STEAM boleh menjadi menarik, kreatif dan menyeronokkan untuk kanak-kanak dari semua latar belakang,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, katanya pihaknya juga komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, memupuk semangat inovasi dan kreativiti serta berharap untuk meneruskan kerjasama dengan The Spring Mall dan rakan kolaborasi pada masa akan datang.