KUCHING: Projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu bakal dilengkapi teknologi terkini yang mampu menampung kapasiti sehingga 15 juta penumpang setahun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini merupakan pelan jangka panjang yang akan memberikan pengalaman perjalanan lebih lancar.
“Penumpang hanya perlu melakukan satu kali proses daftar masuk dan semua urusan lain akan selesai secara digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak (SHTA) Ke-9 di sini, malam tadi.
Katanya, walaupun kos pembinaan projek tersebut mungkin tinggi, namun Kerajaan Sarawak akan memastikan ia menjadi pelaburan yang berbaloi.
Beliau membandingkan perkembangan Sarawak dengan Dubai yang telah berubah drastik dalam tempoh 25 hingga 30 tahun lalu setelah negara itu memperkasakan sektor penerbangannya.
“Dahulu, Dubai hanyalah padang pasir, namun dengan kebijaksanaan mereka menubuhkan syarikat penerbangan Emirates dan menarik pelancong, Dubai telah menjadi hab antarabangsa yang maju.
“Kita di Sarawak mempunyai kelebihan dengan kekayaan alam semula jadi, masyarakat yang bersatu padu dan kemampuan pelbagai bahasa. Jika Dubai boleh, saya yakin Sarawak juga mampu melakukannya,”katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Abang Johari menyampaikan Anugerah Special Award for Lifetime Achievement kepada Datu Aloysius J. Dris yang banyak berjasa dalam industri pelancongan Sarawak.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.