KUCHING: Kejayaan Kerajaan Sarawak menganjurkan temasya Para SUKMA 2024 yang melabuhkan tirainya malam tadi dengan jayanya wajar diberikan pujian.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Sarawak telah meletakkan penanda aras baharu penganjuran sukan dwitahunan itu.
Katanya, penanda aras ini amat baik kepada negeri-negeri lain bagi memastikan hospitaliti kepada atlet para adalah
terbaik.
“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan seluruh jentera penganjuran Para SUKMA 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam tadi.
Hannah Yeoh menambah, Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan penganjuran seterusnya ‘klasifikasi sifar’ terutamanya Para SUKMA 2026 di Selangor kelak.
“Setelah berbincang dengan Dato Sri Fatimah, harapan kita supaya dalam Para SUKMA yang akan datang, tiada acara yang dikecualikan agar kita boleh meraikan semua atlet para kita dengan memberikan platform mereka untuk bertanding,” tegasnya.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri-Menteri, Exco-Exco dan Timbalan-Timbalan Menteri dan Exco, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef De Mission Kontinjen Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee.