Program Pengukuran Tanah NCR bantu rakyat dapatkan hak

SIBU: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan hak mereka sekali gus mengelakkan pencerobohan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, di bawah program inisiatif baharu itu, sejak 2010 hampir 1.2 juta hektar (tiga juta ekar) tanah NCR berjaya disukat manakala yang diwartakan lebih 900,000 hektar atau 2.3 juta ekar.

“Kerja pengukuran Tanah NCR adalah percuma selagi penuntut dapat membuktikan kesahihan tanah mereka mengikut undang-undang,” katanya pada majlis penyampaian surat Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Sibu di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar menegaskan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) tidak akan menjalankan kerja penyukatan di kawasan yang mempunyai isu mahkamah, sebaliknya memberi tumpuan kepada kawasan lain yang tidak mempunyai pertikaian.

Namun katanya, kerajaan boleh menjalankan kerja-kerja pengukuran sekiranya pemilik tanah berkenaan menarik balik isu di mahkamah dan membuat permohonan untuk pengukuran.

“Jika tanah berkenaan telah disukat di bawah Seksyen 6 atau 18, atau jika belum disahkan tetapi ada bukti ia adalah tanah adat, pampasan akan dibayar selaras dengan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Seksyen 13 Perlembagaan Persekutuan,” Katanya.

Seramai 574 penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) dari kawasan Sibu menerima surat hak milik tanah masing-masing pada majlis tersebut.

Penerima adalah dari kawasan Sebindang Oya, Igu Tamin, Pasai Siong dan Kawasan B: Tebalang/Batang Penyudah dan Batang Oya yang melibatkan keluasan 2,055 hektar dengan 768 surat hak milik tanah dikeluarkan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang, Pemangku Tanah dan Survei Sarawak Ramzi Abdillah dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Jasni Jubli.