KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengambil berat penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi kakitangan dan pelajar universiti itu.
Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, berhubung perkara ini, pihaknya menubuhkan Unit Kesejahteraan Personel (UKeP) di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada 2021.
“Unit ini bertanggungjawab melaksanakan intervensi psikologi atau kaunseling kepada staf-staf,” katanya.
Beliau berkata demikian di Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW2024) anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kolaborasi strategik bersama UNIMAS, di sini, hari ini.
Di samping itu, Hata berkata UNIMAS juga turut mempunyai satu unit khusus untuk memberi khidmat kaunseling kepada pelajar iaitu Unit Psikologi dan Kaunseling (PsyCon).
“PsyCon di bawah Pusat Khidmat Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,” tambahnya.